Saturday, May 29, 2010

Malaysia utamakan inovasi, kreativiti

PROGRAM Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) Malaysia menjadi perkara yang dikongsi dengan negara lain pada Kongres Teknologi Maklumat Dunia (WCIT2010) di Amsterdam, yang baru berakhir. 

Ketika menyampaikan ucap tama mengenai ‘Transformasi Sesebuah Negara’ pada Rabu lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bercakap mengenai peranan utama inovasi dimainkan dalam pembangunan Malaysia.
“Inovasi dan kreativiti adalah cara Malaysia menuju ke hadapan untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi daripada status berpendapatan sederhana sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan daya tolakan, tetapi ia bersedia bergerak ke bidang inovasi dengan penyediaan perancangan bagi sektor berkenaan. 

Ia termasuk Model Inovasi Nasional (NIM) yang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang menggalakkan inovasi dijana teknologi dan pasaran. 

Inisiatif inovasi dijana teknologi termasuk merangsang penyelidikan sains asas, pembangunan teknologi dan pengkomersialan melalui penyediaan insentif seperti geran penyelidikan dan teknologi serta pembiayaan pelbagai peringkat. 

Sementara itu, inovasi yang dijana pasaran memberi fokus kepada usaha mengenal pasti pasaran khusus dan menempatkan insentif dan program yang perlu bagi membolehkan Malaysia meneroka pasaran khusus. 
Ketika menyampaikan ucapan, Maximus turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menganjurkan Forum Inovasi Kuala Lumpur dari 25 hingga 26 Oktober ini, dengan atur cara kemuncaknya adalah Dialog Peringkat Menteri mengenai Dasar Inovasi. 

Antara atur cara lain ialah pemikiran mengenai inovasi para pemimpin dan peneraju di dalam industri itu dari Malaysia dan seluruh dunia. 

Maximus mengetuai delegasi 20 orang dari Malaysia ke WCIT 2010 yang termasuk pegawai kanan Mosti, Kedutaan Malaysia di Belanda, MDeC, Matrade, Mida, Mimos dan Cybersecurity Malaysia. 

Delegasi Malaysia terbabit dalam perbincangan kerajaan dengan kerajaan dan pertemuan perniagaan dengan ekonomi utama Eropah untuk mempromosikan MSC Malaysia dan meningkatkan potensi bagi pelaburan asing baru dalam inisiatif nasional WCIT 2010. 

Pegawai MDeC turut mengadakan perbincangan dengan wakil Suruhanjaya Eropah mengenai Agenda Digitalnya. – Bernama 


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Malaysiautamakaninovasi_kreativiti/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment