Thursday, October 14, 2010

Inovasi & Kreatif: UM juara rekaan mesra alam

Schneider Electric anjur Hijaukan Bumi@Kampus Saya' galak siswa tampil idea inovatif

UNIVERSITI Malaya (UM) menggondol hadiah utama dermasiswa bernilai RM15,000 pada Cabaran Universiti Schneider Electric ‘Hijaukan Bumi@Kampus Saya’, baru-baru ini menerusi kertas cadangan mengenai pencahayaan pintar dan sistem penyaman udara berpusat di kampus universiti tertua tempatan itu. 

Pasukan Eco-Universiti daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menduduki tempat kedua menerima dermasiswa bernilai RM10,000, manakala satu lagi pasukan UM, Green-tech, di tempat ketiga meraih hadiah RM5,000 selain trofi dan sijil kepujian.


Upacara penyampaian hadiah disempurnakan Naib Presiden Kanan Schneider Electric Asia Tenggara, Stuart Thorogood. Hadir sama, Presiden Schneider Electric (Malaysia), Peter Cave.


Cave berkata, program Cabaran Universiti Schneider Electric ‘Hijaukan Bumi@Kampus Saya’ itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyelesaian kecekapan tenaga dan amalan lestari dalam kalangan warga universiti. 

“Sebagai penganjur cabaran ini, Schneider Electric turut memberi pembiayaan bagi peserta membina prototaip penyelesaian. Hasil projek akan dipamerkan di universiti peserta dengan harapan ia turut memberi manfaat kepada warga kampus supaya mereka turut peka mengenai penyelesaian kecekapan tenaga,” katanya. 

Sebanyak 55 pasukan daripada 13 universiti mengambil bahagian pada pertandingan kali kedua itu dan 10 daripadanya terpilih ke peringkat akhir iaitu pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Antarabangsa INTI, Universiti UCSI (dua pasukan), UM (dua pasukan), Universiti Sains Malaysia (tiga pasukan) dan UTAR. 

Antara hasil projek dipertandingkan pada peringkat akhir adalah penyelesaian kecekapan tenaga praktikal untuk kemudahan dan persekitaran kampus yang meliputi sistem penyaman udara, sistem penyejukan, sistem kawalan pencahayaan dan sistem pintu automatik bagi sistem pengepaman air. 

0 comments:

Post a Comment