Sunday, October 3, 2010

UiTM juara pertandingan reka cipta

Pertandingan Reka Cipta & Inovasi 2010 bertemakan 'Inovasi untuk Kehidupan'


SEBANYAK 30 pasukan sekolah menengah dan 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bersaing dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi sempena Majlis Konvokesyen Ke-5 Universiti Malaysia Pahang (UMP), baru-baru ini.
Pertandingan tiga hari itu diadakan di Dewan Astaka universiti berkenaan dengan tema inovasi berkaitan kehidupan seharian. 

Pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam dan SM Sains Kepala Batas, Pulau Pinang masing-masing dinobatkan sebagai pemenang kategori IPTA dan sekolah menengah.

Tuan rumah, UMP meraih dua anugerah iaitu terbaik kategori UMP dan anugerah khas juri menerusi rekaan penyelesaian tempat meletak kenderaan menggunakan komputer.

Manakala kajian menyeluruh termasuk kesan ekonomi untuk menjadikan bandar Alor Gajah, Melaka sebagai pusat pelancongan bercahaya melayaknya bergelar juara.

Ketua projek, Mohd Riduan Ngesan, 22, berkata keyakinan bandar itu muncul lokasi pelancongan terkenal membuatkan UMP memilihnya sebagai subjek utama projek.

“Sebelum pertandingan, kami melakukan kajian dan memilih Alor Gajah kerana yakin potensinya mampu mencetuskan kelainan.

“Kerja keras dan pemilihan itu ternyata tidak sia-sia apabila meraih kemenangan, sekali gus memperkukuhkan nama institusi di kalangan pesaing,” katanya.

Usaha itu turut dibantu dua pensyarah termasuk 50 mahasiswa UMP lain.

SM Sains Kepala Batas pula menghasilkan produk bahan terbuang pokok kelapa sawit sebagai agen mengawal pencemaran minyak tumpah di laut dan sungai.

Sebanyak tujuh pasukan sekolah dan IPTA menerima anugerah khas juri sebagai penghargaan kejayaan mencipta produk baru manakala sembilan pasukan menerima pingat emas, 20 pasukan (perak) dan 23 pasukan (gangsa).

Majlis penutup dan penyampaian hadiah dilakukan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

0 comments:

Post a Comment